Thursday 25 August 2011

Teknologi fahami variasi manusia


TEKNOLOGI komputer semakin pesat berkembang di negara ini. Kini, pada abad ke-21, pakar-pakar komputer dari seluruh dunia sudah mampu menghasilkan pelbagai aplikasi untuk pelbagai tujuan.
Pengkomputeran terkini seperti teknologi sentient (berperasaan) juga telah mula diperkenalkan, bukan sahaja di hospital-hospital malah dalam kehidupan seharian.

Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, baru-baru ini 99 pelajar Kolej Cybernetics menjayakan Program Pengumpulan Data Penyelidikan (Craniofacial Anthropometry) di Dewan Aktiviti Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics bersama Fakulti Pergigian Universiti Malaya.

Penasihat Kelab Kreatif dan Penerbitannya, Abdul Razak Sulaiman berkata, program itu telah meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai kepentingan bidang seperti perubatan dan animasi berkomputer.

"Kepentingan yang utama adalah dalam bidang perubatan untuk tujuan pembedahan craniofacial.
"Dalam kajian dan teknologi pengumpulan maklumat ini, pelajar diberi tumpuan ke atas menghasilkan reka bentuk dan prototaip bagi sistem perolehan imej-stereo untuk kegunaan perolehan data craniofacial," katanya.

Sistem itu terdiri daripada objek kawalan bingkai, kerusi khas, pelantar kamera dengan enam buah kamera digital dan dua rojektor.
Projektor digunakan untuk memaparkan titik-titik ke atas muka manusia dan membantu dalam proses pengukuran.
Bagi tujuan pemprosesan, Digital Video Plotter (DVP) digunakan untuk melakukan pemprosesan imej-stereo secara 3D.

Abdul Razak berkata, antropometry merujuk kepada pengukuran individu manusia untuk mengetahui variasi fizikal manusia.

"Kini antropometry berperanan penting dalam bidang perancangan industri, perancangan pakaian, ergonomik, dan arsitektur serta dimensi tubuh dari suatu populasi diperlukan untuk menghasilkan produk yang optimal," katanya.

No comments:

Post a Comment